Dalam dunia moden yang semakin menilai manusia melalui angka, pangkat dan kedudukan, pendidikan kita sedang berdepan penyakit yang lebih parah daripada kekurangan prasarana. Kita sedang menyaksikan hilangnya roh pendidikan itu sendiri. Universiti diubah menjadi kilang mencetak sijil, bukan sebagai wilayah membina jiwa. Kita mengajar anak muda mengejar pekerjaan tetapi tidak mengajar mereka mengenal tujuan hidup. Kita melimpahkan ilmu tetapi kita tidak membentuk adab.
Profesor Diraja Terpuji Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas menegaskan bahawa krisis besar umat adalah kekeliruan ilmu dan hilangnya adab. Apabila ilmu dipisahkan daripada Tuhan, akhlak dan kebenaran, maka sistem pendidikan hanya akan melahirkan manusia berpengetahuan tetapi tidak beradab, cerdas tetapi tidak jujur, tinggi kelayakan tetapi rendah keinsafan. Al-Attas mengingatkan bahawa tujuan ilmu ialah pengadaban manusia, bukan penggandaan kemahiran semata-mata.
يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
Allah meninggikan darjat orang yang beriman dalam kalangan kamu dan orang yang berilmu beberapa darjat (Surah al-Mujadilah ayat 11)
Maka ilmu yang memuliakan insan ialah ilmu yang menghubungkan akal kepada Allah dan menundukkan hati kepada kebenaran.
Inilah punca universiti hari ini semakin hilang arah. Bangunannya meninggi tetapi nilai kian runtuh. Saranan Syed Naquib dalam Islam and Secularism, The Concept of Education in Islam dan Risalah untuk Kaum Muslimin menjadi peringatan bahawa apabila adab dipinggirkan, institusi pendidikan berubah menjadi agen kerosakan masyarakat, bukan penyelamatnya.
Allah juga mengingatkan bahawa ukuran sebenar seorang yang berilmu ialah ketakwaan dan rasa takut kepadaNya
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ
(Surah Fatir ayat 28)
Ilmu yang tidak menghidupkan hati tidak membawa manusia kepada kebenaran.
Hari ini kita menyaksikan sebahagian generasi yang semakin banyak mempunyai ijazah tetapi semakin sedikit jiwa membawa islah. Pandai berhujah tetapi takut menyatakan yang benar. Bijak menulis tesis tetapi gentar menentang kezaliman.
Nabi SAW memperingatkan
“Jihad yang paling utama ialah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim”
(Riwayat Abu Dawud dan Tirmizi)
Di sinilah fenomena yang dibedah oleh Syed Hussein Alatas dalam The Myth of the Lazy Native dan Intellectuals in Developing Societies. Beliau mengkritik kemunculan intelektual palsu, terpelajar tetapi tidak bebas, berilmu tetapi tidak berani, lalu gagal memikul peranan sosialnya.
Integriti para ilmuwan ialah syarat kelangsungan tamadun. Ibn Al-Qayyim pernah berkata:
“Rosaknya umat disebabkan oleh rosaknya dua golongan iaitu ulama dan pemerintah”
(Jami’ al-Ulum wal-Hikam)
Jika ilmuwan tunduk kepada keuntungan dan kuasa, maka ilmu menjadi alat memperkukuh kebatilan.
Pemikiran ini diteruskan oleh Syed Farid Alatas melalui karya seperti Alternative Discourses in Asian Social Sciences. Beliau memperingatkan bahawa ilmuwan mesti bebas daripada penjajahan fikiran. Jika tidak, universiti hanya meniru acuan asing sehingga hilang identiti dan maruahnya sendiri.
PENDIDIKAN YANG MENANAM KEBERANIAN DAN MARUAH
Kejayaan universiti bukan semata-mata pada ranking antarabangsa atau jumlah graduan, tetapi sejauh mana ia melahirkan manusia yang tidak boleh dibeli. Manusia yang memilih kebenaran berbanding keselesaan. Manusia yang menolak keuntungan yang mengkhianati amanah.
Manusia yang paling baik ialah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia
(Riwayat al-Tabarani, hasan)
Ilmu yang tidak memberi manfaat hanyalah beban, bukan cahaya. Ilmu tanpa adab hanyalah bencana yang tidak terlihat.
UNIVERSITI HARUS KEMBALI MENJADI MIHRAB JIWA
Universiti mesti kembali kepada asas membina insan, bukan sekadar pekerja. Mesti membentuk keberanian moral, bukan hanya kemahiran teknikal. Mesti menanam rasa tanggungjawab, bukan sekadar mengejar kelulusan sahaja.
Kejujuran lebih tinggi nilainya daripada kedudukan. Pengorbanan lebih besar martabatnya daripada keuntungan.
Maruah lebih mulia daripada keselesaan.
Kebenaran lebih agung daripada dunia.
Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Pendidikan mesti memupuk rasa amal jamaie, empati dan tanggungjawab sosial. Mahasiswa bukan sekadar pengikut arus tetapi pembetul arus. Mereka bukan cermin kepada kerosakan tetapi ubat kepada kerosakan.
MENGEMBALIKAN ADAB, MENGANGKAT MARTABAT
Negara akan rosak jika ilmuwannya tidak beradab. Masyarakat akan runtuh jika sarjananya hilang jiwa. Universiti akan gagal jika ia hanya menjadi kilang mencetak sijil tanpa membina peribadi yang berwatak.
Syed Naquib mengingatkan bahawa membina manusia adalah usaha membina tamadun.
Syed Hussein menegaskan bahawa intelektual tanpa integriti adalah racun kepada bangsa.
Syed Farid menekankan bahawa ilmu mesti merdeka daripada penjajahan fikiran.
وَقُل رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا
Wahai Tuhanku tambahkanlah aku ilmu
(Surah Taha ayat 114)
Kerana ilmu yang benar sentiasa mendekatkan kita kepada kebenaran dan ketundukan kepada Allah.
Maka universiti sebenar bukan bangunan batu dan kaca. Ia adalah mihrab adab yang menanam nilai, menyuburkan maruah dan meninggikan martabat insan.
Apabila universiti berjaya melahirkan manusia sebegini maka lahirlah generasi yang bukan sahaja cerdas tetapi berjiwa besar. Dari jiwa-jiwa besar itulah bangkitnya tamadun yang tidak akan tunduk kepada sesiapa kecuali kepada kebenaran.
“Dari Saff Terdepan Pemikiran Umat”