KUALA LUMPUR (4 Januari 2026) — Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berpandangan bahawa landskap politik negara ketika ini menuntut pendekatan baharu yang lebih matang, berlapang dada dan berpaksikan kepentingan ummah serta kesejahteraan negara, termasuk usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional sebagai payung besar penyatuan politik.
Menurut beliau, cadangan Ketua Pemuda UMNO Malaysia untuk menghidupkan kembali Muafakat Nasional, yang turut disambut oleh Ketua Pemuda PAS Malaysia, wajar diberi perhatian serius dalam usaha menstabilkan politik negara.
Beliau menegaskan bahawa Muafakat Nasional tidak seharusnya dilihat sebagai kerjasama politik jangka pendek, sebaliknya merupakan gagasan penyatuan strategik yang memayungi parti-parti Melayu serta rakan-rakan bukan Melayu yang sederhana, rasional dan menolak ekstremisme.
“Negara hanya mampu distabilkan melalui politik yang membina, bukan politik yang merobohkan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan situasi semasa sebagai masa terbaik untuk parti-parti Melayu melakukan penstrukturan semula atau reset secara menyeluruh, termasuk dari segi pendekatan, budaya berpolitik, tatakelola kepimpinan serta keutamaan perjuangan.
Menurutnya, politik dendam dan saling mencurigai perlu digantikan dengan politik muafakat, amanah dan tanggungjawab bersama demi kepentingan rakyat.
Beliau turut mengingatkan bahawa sejarah membuktikan orang Melayu menjadi kuat apabila bersatu atas prinsip, bukannya kepentingan sempit, sambil menegaskan bahawa kesatuan tersebut mesti bersifat inklusif serta memberi jaminan keadilan dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Tambah beliau, Muafakat Nasional yang dihidupkan semula perlu berteraskan nilai kenegaraan, keadilan sosial, kestabilan ekonomi serta penghormatan terhadap Perlembagaan dan institusi negara, dan bukan sekadar nostalgia politik.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak supaya menghentikan polemik berpanjangan dan mula memikul tanggungjawab besar terhadap rakyat, sambil menegaskan bahawa politik seharusnya menjadi medan khidmat, bukan medan ego.
Beliau menegaskan bahawa PAS kekal konsisten membawa politik penyatuan, dan menggesa agar jalan muafakat diberi ruang untuk dibina semula dengan kejujuran dan kebijaksanaan demi agama, bangsa dan tanah air.
