KUALA LUMPUR (5 Januari 2026) — Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar menyifatkan pemberian peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang sebagai antara reform paling asas yang perlu dilaksanakan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, penafian peruntukan tersebut bukan sekadar isu pentadbiran, sebaliknya mencerminkan kegagalan menghormati prinsip demokrasi berperlembagaan serta hak rakyat yang telah memilih wakil mereka secara sah melalui proses pilihan raya.
Beliau menegaskan bahawa peruntukan Ahli Parlimen bukan milik parti politik atau kerajaan, sebaliknya merupakan amanah rakyat yang bertujuan untuk pembangunan kawasan tanpa mengira kecenderungan politik.
“Menyekat peruntukan bermakna menghukum pengundi dan mencabuli semangat Perlembagaan Persekutuan yang menjunjung prinsip keadilan, kesaksamaan serta semak dan imbang kuasa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa reformasi tidak seharusnya terhenti pada slogan dan ucapan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui perubahan dasar dan amalan pentadbiran yang adil.
Menurutnya, sekiranya amalan lama yang bersifat menekan, menghukum dan meminggirkan pembangkang terus dikekalkan, laungan reformasi hanya akan menjadi retorik politik tanpa makna sebenar.
Beliau turut mempersoalkan sejauh mana budaya tidak adil itu akan terus dipertahankan, sedangkan rakyat menuntut politik yang lebih matang, berakhlak dan berpaksikan keadilan untuk semua pihak.
Tegasnya, reformasi sebenar bukan hanya melibatkan had penggal Perdana Menteri, tetapi menuntut kerajaan melaksanakan tanggungjawab secara konsisten mengikut Perlembagaan serta menjunjung prinsip demokrasi sepenuhnya.
