PEMUDA PAS SELANGOR GESA HUBUNGAN PAS – BERSATU DINILAI SEMULA

SHAH ALAM (30 Disember 2025) — Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berpandangan bahawa sudah tiba masanya PAS melakukan penilaian menyeluruh dan berani terhadap hubungan politik bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kerangka Perikatan Nasional.

Menurut sayap pemuda parti itu, penilaian berkenaan bukan didorong oleh faktor emosi atau kepentingan sempit, sebaliknya berdasarkan realiti politik semasa serta pertimbangan maslahat jangka panjang perjuangan parti dan kepentingan rakyat.

Dewan Pemuda PAS Selangor mendakwa prestasi Bersatu dalam beberapa siri pilihan raya kebelakangan ini menunjukkan kemerosotan sokongan rakyat, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu. Dalam banyak kawasan, menurut mereka, Bersatu dilihat bergantung kepada kekuatan PAS bagi memastikan kelangsungan politik, namun tuntutan kerusi dan pengaruh yang dibuat didakwa tidak seimbang dengan sumbangan sebenar.

“Keadaan ini bercanggah dengan semangat keadilan dan keikhlasan dalam konsep tahaluf siyasi,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Pemuda PAS Selangor turut menyatakan bahawa pendakwaan dan siasatan yang melibatkan pimpinan utama Bersatu memberi kesan negatif kepada keseluruhan imej Perikatan Nasional, memandangkan gabungan tersebut dilihat rakyat sebagai satu entiti.

Walaupun menegaskan PAS tidak terlibat dalam isu berkenaan, Pemuda PAS Selangor berpandangan parti itu tidak seharusnya terus berperanan sebagai ‘penyelamat’ kepada parti lain sehingga boleh menjejaskan masa depan perjuangan sendiri.

Dalam kenyataan sama, mereka menegaskan bahawa kerjasama politik dibenarkan selagi membawa maslahat, dan penilaian semula hubungan politik merupakan sebahagian daripada proses islah dan muhasabah demi kebaikan ummah.

Pemuda PAS Selangor turut mengaitkan perkembangan politik mutakhir yang melibatkan dakwaan pengkhianatan dan konflik antara rakan gabungan sebagai peringatan penting tentang keperluan elemen kejujuran dan kesetiaan dalam menjayakan perjuangan bersama.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyeru kepimpinan PAS Pusat supaya mengambil langkah tegas dan berani menilai semula hubungan dengan Bersatu, demi menjaga imej dan prinsip perjuangan Islam, memperkukuh kekuatan parti serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PAS sebagai parti masa depan negara.