Gelombang malam masih berbisik kepada bulan. Bayu yang dingin menyimpan rahsia badai yang belum reda.
Langit belum benar-benar cerah, hanya kelam yang menyamar sebagai fajar. Tunggulah. Matahari akan terbit, dan segala bayang-bayang akan kehilangan tempat untuk bersembunyi.
Begitulah halnya dengan kebenaran yang hakiki. Ia akan menjelma jua, meskipun tertangguh oleh kabus kebingungan atau diselimuti oleh buih pujian palsu.
Dalam detik-detik kabur antara malam dan pagi itu. Kita dihadapkan dengan pilihan,
Samada hanyut bersama arus kuasa atau menongkahnya dengan layar iman dan prinsip.
Namun sejarah dan pengalaman mengajar umat bahawa hubungan antara ulamak dan penguasa tidak pernah sederhana.
Ulamak dan penguasa ibarat api dan tubuh manusia. Terlalu dekat, terbakar. Terlalu jauh, membeku. Hubungan yang tidak seimbang akan menjadikan agama sebagai alat, dan bukan panduan.
Al-Imam al-Ghazali rahimahullah mengungkapkan dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din satu nasihat abadi:
فإنهم – أي العلماء – إذا دخلوا على السلاطين فسدوا، وإذا دخل السلاطين على العلماء صلحوا.
Sesungguhnya para ulamak itu, apabila mereka yang mendatangi para penguasa, maka mereka akan rosak. Tetapi jika para penguasa yang mendatangi para ulama, maka para penguasa itu akan menjadi baik.
Bahkan sabda Nabi SAW memberi petunjuk jelas:
أَفْضَلُ الْجِهَادِ كَلِمَةُ حَقٍّ عِندَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ
Sebaik-baik jihad adalah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim.
(Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi)
Kebenaran tidak harus tunduk kepada kuasa.
Dan ulamak bukanlah bayang-bayang yang bergerak mengikut cahaya takhta penguasa.
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah memperingatkan dengan tegas:
العَالِمُ الَّذِي يُفْتِي السُّلْطَانَ بِمَا يُرِيدُ، قَدْ بَاعَ دِينَهُ بِدُنْيَا غَيْرِهِ.
Ulamak yang memberi fatwa kepada penguasa menurut apa yang dia mahu, telah menjual agamanya demi dunia orang lain.
Dan Imam Malik bin Anas rahimahullah turut menegur hubungan yang tidak wajar antara ulamak dan penguasa. Beliau berkata:
إذا رأيت العالم يكثر الدخول على السلطان فاعلم أنه لص.
Apabila kamu melihat seorang alim itu sering keluar masuk (menghadap) penguasa, maka ketahuilah bahawa dia adalah seorang pencuri.
Kata-kata ini bukan celaan ke atas ulamak yang menasihati, tetapi amaran kepada ulamak yang berkhidmat untuk meraih redha penguasa, bukan redha Allah.
Maka keseimbangan adalah tuntutan.
Ulamak tidak boleh menjadi jurucakap dalam perkara batil untuk penguasa. Tidak juga menjadi pendiam dari kejauhan yang membiarkan kezaliman terus berlaku tanpa nasihat atau teguran.
Ibarat pelayar bijaksana, ulamak harus membaca bintang dan ombak. Sebagaimana pesan pelaut agung Ibnu Majid kepada pelayar Portugis yang menuju Melaka:
“Terlalu ke tengah, kapalmu karam dibaham badai. Terlalu ke tepi, kapalmu pecah dihentam karang.”
Itulah seni menasihati kuasa: tidak tenggelam, tidak terhempas.
Dalam zaman yang penuh godaan harta, kuasa dan pengaruh. Kita perlukan ulamak yang tidak dibeli, tidak dibungkam, dan tidak berkompromi atas prinsip.
Para Ulamak adalah waris para nabi, bukan khadam para penguasa. Mereka menyuluh jalan, bukan menyorok di balik bayang.
Mereka menyatakan kebenaran, bukan membungkus dusta dengan ayat.
Inilah seruan kami, agar kita semua kembali meletakkan ulama di tempat yang sebenar. Iaitu di tengah umat, bukan di kaki takhta.
أبو معاذ محمد شكري عمر المليباري الماليزي
خادمُ الدعوةِ والأمةِ
“Dari saf terdepan pemikiran umat.”





