1) Ulamak Sebagai Penguasa Bukanlah Asing Dalam Sejarah Islam
Dalam sejarah Islam, banyak ulama menjadi penguasa, atau memimpin pemerintahan secara langsung, antaranya:
1.Khilafah al-Rashidah: para khalifah seperti Abu Bakar dan Umar RA adalah ahli ilmu, fuqaha dan mujtahid, bukan sekadar pentadbir.
2. Umar bin Abdul Aziz (khalifah Bani Umayyah): seorang tabi’in dan ulama hadith, memimpin dengan adil dan penuh wara’.
3. Imam al-Mawardi (w. 450H), pengarang al-Ahkam al-Sultaniyyah, menyatakan bahawa “penguasa ideal ialah yang menggabungkan ilmu, keadilan dan kemampuan memimpin.”
2) Ulamak Sebagai Penguasa
Kebaikan:
1. Ulamak berperanan menegakkan syariat dengan kefahaman mendalam.
2. Keputusan berpandukan wahyu, bukan hawa nafsu atau kepentingan politik.
3. Menjadi qudwah (teladan) dalam akhlak dan integriti.
Namun, bahayanya:
1. Jika ulamak lalai atau terpedaya dengan kuasa, kerosakannya lebih besar kerana ia membunuh kepercayaan rakyat terhadap agama.
2. Ulamak yang menjadi penguasa wajib menjaga lidah, amanah dan keilmuan, kerana sebarang kompromi akan mencemarkan agama, bukan sekadar pentadbiran.
3) Panduan Ulamak Terdahulu
Imam al-Ghazali dalam al-Tibr al-Masbuk mengingatkan:
إذا فسدت العلماء فسد العالم، وإذا صلحوا صلح
الناس.
Jika rosak ulamak, maka rosaklah dunia. Jika mereka baik, maka baiklah manusia.
Ibnu Taimiyyah pula menegaskan:
الولاية إنما تقام لأجل إقامة الدين وسياسة الدنيا به
Kepimpinan itu ditegakkan untuk menegakkan agama dan mengurus dunia dengan agama.
Maknanya, ulamak sebagai pemimpin bukan masalah, tetapi bebannya amat berat. Mereka tidak boleh tunduk kepada kuasa politik yang memadamkan suara kebenaran.
4) Jika ulama menjadi penguasa, mereka wajib mengamalkan syura (musyawarah) dengan cendekiawan, teknokrat dan rakyat. Ulamak sebagai penguasa mesti bertindak dengan ijtihad kolektif dan memahami realiti masyarakat.
5) Ulamak penguasa: Nikmat atau Fitnah?
Jika mereka:
1. Menjaga prinsip agama, berlaku adil, terbuka kepada nasihat dan tidak tamak kuasa. Mereka adalah rahmat buat umat.
2. Tetapi jika mereka menggunakan ilmu untuk menghalalkan kezaliman. Mereka adalah fitnah besar bagi umat.
Sebagaimana kata Ibn al-Qayyim:
العالِم إذا زَلَّ، زَلَّ بزَلَله العالَمُ.
Apabila seorang alim tergelincir, maka seluruh dunia tergelincir bersamanya.
أبو معاذ محمد شكري عمر المليباري الماليزي
خادمُ الدعوةِ والأمةِ
“Dari Saff Terdepan Pemikiran Umat”





