Ada yang berhujah kononnya kita mesti “berpijak di bumi nyata”, seolah-olah sirah Nabi ﷺ mengajar umat Islam supaya tunduk kepada kekuatan musuh dan menerima sahaja ketidakadilan atas nama realiti politik. Tetapi inilah tafsiran yang paling dangkal terhadap sirah Rasulullah ﷺ.
NABI ﷺ TIDAK TUNDUK ATAS NAMA REALISTIK
Benar, Nabi ﷺ diuji di Makkah dengan tekanan dan pengusiran. Benar juga baginda menandatangani Hudaibiyah yang kelihatan berat sebelah. Tetapi sabar dan strategi Rasulullah bukan tunduk kepada zalim. Ia adalah fasa membina kekuatan dan menunggu waktu untuk menumbangkan taghut dengan cara yang terhormat.
Baginda bersabda:
وَاللَّهِ لَوْ وَضَعُوا الشَّمْسَ فِي يَمِينِي وَالْقَمَرَ فِي يَسَارِي عَلَى أَنْ أَتْرُكَ هَذَا الْأَمْرَ مَا تَرَكْتُهُ
Demi Allah, seandainya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku agar aku meninggalkan perjuangan ini, aku tidak akan meninggalkannya. (Riwayat Ahmad, no. 1651)
Nabi ﷺ hidup di bumi nyata, tetapi berpandukan langit. Realistik dalam Islam bukan bererti tunduk pada zalim, tetapi membina kekuatan dengan hikmah.
BADAR MENJADI MENJADI MEDAN MEMAHAMI REALISTIK MENGIKUT UKURAN NABI ﷺ
Kalau hujah “realistik” bermakna tunduk kepada kuasa besar, maka perang Badar tidak sepatutnya berlaku.
Pada waktu itu, Madinah hanyalah negara kecil baru bertapak. Makkah pula kuasa ekonomi besar dengan harta dan senjata. Secara realiti, tidak mungkin umat Islam mampu menang. Tetapi Allah tidak menilai kekuatan dengan angka, Allah menilai dengan iman.
Ketika Quraisy merampas harta orang Islam di Makkah dan menjualnya untuk membiayai perdagangan mereka, Rasulullah ﷺ tidak berdiam diri. Baginda keluar bersama 313 orang sahabat, berhadapan dengan tentera Makkah yang tiga kali ganda lebih besar, bersenjata lengkap, sedangkan tentera Islam hanya ada sedikit pedang dan kuda.
Namun kemenangan berpihak kepada Islam, bukan kerana strategi material, tetapi kerana keberanian iman dan keberkatan keyakinan.
Firman Allah ﷻ:
وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ
تَشْكُرُونَ
Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu dalam perang Badar, sedang kamu ketika itu dalam keadaan lemah. Maka bertakwalah kepada Allah supaya kamu bersyukur.
(Surah Ali ‘Imran: 123)
Kalau diukur dengan neraca realpolitik, tentera Islam sepatutnya kalah. Tetapi realistik dengan panduan iman mengubah kelemahan menjadi kemenangan.
REALISME ISLAM BUKAN PENGECUT, TETAPI KEBIJAKSANAAN BERPRINSIP
Islam tidak ajar kita menyerang membuta tuli. Islam ajar kita strategi dan empati. Tetapi Islam juga tidak ajar kita berjoget dengan musuh yang membunuh saudara kita dan membekalkan senjata kepada Zionis.
Realistik dalam Islam bukan bermakna mengangkat tangan dan berkata “kita lemah”. Ia bermaksud memahami sunnatullah kekuatan, menyusun strategi, membina perpaduan umat dan memperkukuh iman rakyat.
Firman Allah ﷻ:
وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ
Dan bersedialah untuk menghadapi mereka dengan segala kekuatan yang kamu mampu.
(Surah al-Anfal: 60)
Kekuatan dalam ayat ini bukan hanya senjata, tetapi juga kekuatan maruah, prinsip dan kepimpinan.
Menjadi realistik dalam Islam bukan bermaksud diam, tetapi menjadi pemimpin umat yang berempati dengan penderitaan Palestin, bijaksana menyusun langkah, dan tidak sesekali bersekongkol dengan zalim.
MADINAH ADALAM MODEL NEGARA BERDAULAT YANG TEGAS TERHADAP MUSUH
Ada yang berkata, “Malaysia negara berdaulat, perlu diplomasi.” Benar, tetapi jangan lupa Madinah juga negara berdaulat. Namun Nabi ﷺ tetap berhadapan dengan musyrikin Makkah. Baginda tidak menormalisasi penindasan dengan alasan menjaga keamanan atau ekonomi.
Negara Islam pertama di bawah Rasulullah ﷺ menandatangani perjanjian damai dengan Bani Damrah, Bani Mudlij dan Yahudi Madinah bukan kerana tunduk, tetapi untuk mengukuhkan kekuatan dalaman dan mengasingkan barisan. Ketika Quraisy melampau dan menumpahkan darah, Nabi ﷺ tidak bersembunyi di bawah slogan “realiti politik”, tetapi memimpin ummah untuk mempertahankan maruah.
Firman Allah ﷻ:
قَاتِلُوا الَّذِينَ يَلُونَكُم مِّنَ الْكُفَّارِ وَلْيَجِدُوا فِيكُمْ غِلْظَةً
Perangilah orang-orang kafir yang dekat dengan kamu dan hendaklah mereka mendapati ketegasan dalam diri kamu.
(Surah at-Taubah: 123)
Ketegasan bukan bererti gopoh, tetapi tanda pemimpin yang berprinsip dan berani.
UMAT ISLAM PERLU MEMIMPIN, BUKAN MENJADI ‘PAK TURUT’
Realistik dengan panduan iman bermaksud memahami zaman, membaca musuh, membina kekuatan dalaman dan tidak tunduk kepada tekanan luar. Rasulullah ﷺ membina generasi yang bukan sekadar sabar, tetapi teguh dan memimpin.
Jika hari ini ada yang berkata “kita kecil, biarlah kuasa besar menentukan nasib dunia”, itu bukan suara Islam. Itu suara jiwa yang telah hilang izzah.
Firman Allah ﷻ:
وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
Janganlah kamu lemah dan janganlah bersedih hati, kerana kamulah yang paling tinggi jika kamu beriman. (Surah Ali ‘Imran: 139)
Inilah realiti Islam yang sebenar. Bukan tunduk kepada pembunuh Palestin, tetapi bangkit memimpin umat dengan hikmah dan kekuatan iman.
UMAT YANG TIDAK TUNDUK PADA MUSUH
Islam tidak pernah ajar umatnya tunduk kepada musuh yang menumpahkan darah saudara sendiri.
Islam ajar kita menjadi pemimpin umat, yang berpijak di bumi dengan panduan langit, berfikir dengan hikmah dan berjuang dengan keberanian.
Realistik dalam Islam bukan mengajar kita menari dengan musuh pembekal senjata zionis atas nama diplomasi, tetapi menyusun langkah dengan iman, membina kekuatan ummah dan tidak pernah berkompromi dengan kezaliman.
Nabi ﷺ telah tunjukkan jalan.
Makkah pernah menindas, tetapi Islam menakluknya tanpa tunduk. Badar pernah tampak mustahil, tetapi Allah jadikan ia lambang bahawa kemenangan milik mereka yang berani beriman.
Realistik dalam Islam bukan bermaksud tunduk kepada kuasa besar, tetapi berpijak dengan iman, berpandukan wahyu dan memimpin umat dengan maruah.
Umat yang takut rugi dunia akan hilang akhirat, tetapi umat yang berani berpegang dengan kebenaran akan mendapat keduanya.
“Dari Saff Terdepan Pemikiran Umat”





