Kita sedang berdiri di persimpangan sejarah. Di hadapan kita, ada jalan yang memelihara warisan peradaban Islam. Di belakang kita, bayang-bayang keruntuhan yang pernah menimpa umat pada zaman silam. Sejarah tidak pernah berdusta. Setiap kali umat melepaskan genggaman mereka pada tali Allah dan kesepakatan ulama, setiap kali itulah mereka dirobek, dipecah dan ditelan arus zaman.
Hari ini, kita melihat retak itu mula merebak. Ada kelompok yang membawa agenda sekular-liberal, menjadikan agama sekadar hiasan moral tanpa kuasa membimbing kehidupan. Ada pula kelompok yang memandang sempit warisan Islam, hanya menerima tafsiran mereka sendiri sambil meremehkan keluasan fiqh dan pandangan ulama silam. Kedua-duanya, walau berbeza wajah, membawa kesan yang sama iaitu umat semakin menjauh daripada akar peradaban yang menyatukan mereka.

Lebih berbahaya, mereka hadir dengan wajah yang kelihatan mulia. Istilah seperti tajdid, islah dan pencerahan digunakan untuk membungkus fahaman yang menyeleweng. Generasi muda, yang sedang mencari arah, sering terperangkap dalam kilauan retorik ini. Tanpa asas ilmu yang kukuh, mereka gagal membezakan antara intan dan kaca, antara mutiara hakiki dengan pasir yang tidak bernilai. Yang asli ditinggalkan, yang palsu diangkat sebagai kebenaran.
Allah SWT memberi amaran yang jelas:
﴿وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَٰطِى مُسْتَقِيمًۭا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُوا۟ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِۦ﴾
Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan lain, kerana jalan-jalan itu akan mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. (Surah al-An‘am: 153)
Rasulullah SAW juga mengingatkan:
«إِنَّ اللَّهَ لَا يَجْمَعُ أُمَّتِي عَلَى ضَلَالَةٍ، وَيَدُ اللَّهِ مَعَ الْجَمَاعَةِ»
Sesungguhnya Allah tidak akan menghimpunkan umatku di atas kesesatan, dan tangan Allah bersama jemaah. (Riwayat al-Tirmizi)
Umat Islam memerlukan penyatuan yang merangkul kepelbagaian mazhab dan pemikiran yang berada di bawah payung Ahlus Sunnah wal Jamaah. Inilah kekuatan sebenar yang mengikat kita, sementara musuh cuba menembusinya dengan ideologi yang asing daripada ruh Islam. Kita tidak boleh membiarkan kekeliruan ini menjadi arus utama. Kesepakatan ulama mesti dipelihara, kerana di situlah letaknya benteng peradaban.
Wahai umat Islam, pertahankan akar ini. Jangan biarkan ia digali dan dicabut oleh tangan-tangan yang mengkhianati warisan. Bimbinglah generasi muda dengan ilmu, hujah dan hikmah. Jadilah penyatu umat, bukan pemecah-belah. Jangan sekadar menjadi penonton ketika pohon peradaban ini cuba ditumbangkan. Jika kita menjaga akarnya hari ini, insya-Allah, batangnya akan teguh, dahannya akan menjulang, dan buahnya akan memberi manfaat kepada dunia hingga akhir zaman.
Jika akar peradaban ini kita biarkan reput, jangan terkejut jika suatu hari kita berdiri di atas runtuhan yang kita sendiri biarkan.
“Dari Saff Terdepan Pemikiran Umat”





