(SIRI 09) TURUN KE JALAN BUKAN KHAWARIJ: MANIFESTASI AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR

Dalam sejarah umat Islam, tiada perjuangan menegakkan kebenaran tanpa ujian dan celaan. Bahkan lebih menyedihkan apabila suara rakyat yang turun ke jalan dengan damai demi menegur kezaliman, dituduh pula sebagai Khawarij. Tuduhan ini adalah tidak adil, malah cuba membungkuskan usaha rakyat menegakan kebenaran dengan label yang jahat.

Hakikatnya, turun ke jalan raya dengan tertib, adab dan tuntutan syarak bukanlah tindakan Khawarij. Ia adalah manifestasi amar makruf nahi mungkar, satu rukun penting dalam syariat Islam. Ia bukan pemberontakan berdarah, tetapi satu bentuk nasihat kolektif terhadap penguasa apabila semua saluran telah dibuntu atau tidak dihiraukan.

Siapa Khawarij Sebenarnya?

Khawarij ialah satu kumpulan ekstremis yang muncul selepas Perang Siffin. Mereka memiliki tiga ciri utama:
1) Mengkafirkan umat Islam kerana dosa besar
2) Mengangkat senjata terhadap pemerintah Muslim

3) Menghalalkan darah sesama Islam

Sebaliknya, demonstrasi aman tidak membawa senjata, tidak mengkafirkan sesiapa dan tidak menumpahkan darah. Ia hanyalah ekspresi hak rakyat yang dibenarkan dalam sistem demokrasi moden dan tidak termasuk dalam definisi bughah menurut fuqaha.

Jika tidak berlaku kekufuran, maka tindakan rakyat dalam bentuk aman adalah bentuk al-nasihah al-jama‘iyyah, bukan bughah.

Amar Makruf Nahi Mungkar: Tuntutan Syarak

Islam tidak hanya mengajar ibadah individu, tetapi juga tanggungjawab sosial. Amar makruf nahi mungkar ialah manifestasi iman yang hidup.
Firman Allah:
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ
Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar.

(Surah Ali Imran: 104)

Sabda Nabi SAW:
“Barangsiapa melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lisannya. Jika tidak mampu, maka dengan hatinya. Dan itu adalah selemah-lemah iman.”

(Riwayat Muslim)

Maka turun ke jalan secara aman dan bermaruah adalah bentuk nahi mungkar secara lisan dan simbolik, bahkan lebih berkesan dalam konteks masyarakat dan negara moden.

Pandangan Ulamak Kotemporari tentang Demonstrasi Aman:

Dr Yusuf al-Qaradawi:
Demonstrasi aman yang mengandungi mesej rakyat terhadap pemerintah adalah salah satu bentuk nahi mungkar yang harus menurut syarak, jika dilakukan dengan tertib dan tanpa kekerasan.

(Fiqh al-Thawrah)

Syeikh Abdul Hamid Kishk:

Jika ulama diam terhadap kezaliman penguasa, maka Allah akan gantikan mereka dengan rakyat yang berani menyuarakan kebenaran.

Syeikh Salman al-‘Audah:

Bersatu menyampaikan kebenaran kepada pemerintah adalah sebahagian daripada jihad lisan yang lebih utama pada zaman ini.

Demonstrasi aman disokong oleh kaedah fiqh berikut:

الوسائل لها أحكام المقاصد

Hukum cara mengikuti hukum tujuan

 

Jika tujuannya adalah nahi mungkar, maka demonstrasi mengambil hukum yang sama

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

Mencegah kerosakan lebih utama daripada meraih manfaat

 

Maka wajib elakkan demonstrasi yang merosakkan

تحمل الضرر الخاص لدفع الضرر العام

Menanggung mudarat kecil bagi menolak mudarat besar

 

Jika sedikit kesulitan perlu dilalui demi menolak kezaliman besar, maka ia dibenarkan syarak



Adab Berdemonstrasi Aman
1. Ikhlas dan niat kerana Allah
2. Elakkan maki hamun, fitnah dan kerosakan awam
3. ⁠Patuh undang-undang: permit, lokasi, masa
4. ⁠Jaga akhlak dan maruah Islam: sopan, sabar dan matang
5. ⁠Rujuk ulamak dan pimpinan jemaah supaya tindakan selari dengan apa yang diputuskan.
6. ⁠Elakkan provokasi dan kawal emosi
7. ⁠Pastikan matlamatnya adalah nahi mungkar, bukan kepentingan lain
8. ⁠Jangan mudah melabel orang lain sebagai Khawarij

9. ⁠Demonstrasi tertib, bukan liar dan melampau

 

Bila Diam Menjadi Dosa

 

Islam tidak mengajar umatnya menjadi pengecut atau hanya berdoa dalam gelap tanpa tindakan. Jika kezaliman berlaku, dan kita punya kemampuan menegur secara aman, maka mendiamkan diri adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap agama dan umat.

Firman Allah:
وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, kelak kamu akan disentuh api neraka.”

(Surah Hud: 113)

Turun ke jalan bukan jenayah. Tetapi mendiamkan diri ketika agama dan umat dihina, itulah kebinasaan sebenar.

Suara Jalanan, Nafas Kebenaran

Jalanan bukan milik Khawarij. Ia boleh menjadi mimbar perjuangan jika diguna dengan ilmu, adab dan hikmah.

Jangan takut ke jalan. Takutlah jika kezaliman dan kejahatan berlaku, kita hanya berdiam diri. Jangan jadikan lidah agama sebagai pedang kepada penguasa zalim.

“Dari Saff Terdepan Pemikiran Umat”