(SIRI 08) NADI UMAT: DARI MIMBAR KE JALANAN

Dalam denyut sejarah umat, selalu ada satu nadi yang menghubungkan suara langit dan jeritan bumi. Antara lafaz sakral di mimbar dan rintihan luka di jalanan. Antara khutbah yang menyeru taqwa dan jerit perih rakyat yang terhimpit sengsara. Di situlah letaknya nadi umat; hidup dalam perjuangan, bergerak dalam kebangkitan.

1.Mimbar: Bukan Sekadar Khutbah
Mimbar dalam Islam bukan hanya tempat berdirinya khatib untuk menyampaikan khutbah mingguan. Ia adalah menara kawalan bagi umat. Sejak zaman Rasulullah ﷺ, mimbar Masjid Nabawi telah menjadi pentas utama pembinaan ummah. Di situ diangkat risalah, diumumkan keputusan, disusun kekuatan dan disatukan barisan.

Namun hari ini, sebahagian mimbar menjadi sunyi dari menyentuh realiti. Ucapan menjadi hambar, khutbah menjadi repetisi. Di saat rakyat dihimpit tekanan hidup, di saat fitnah ideologi dan politik menghimpit, ada mimbar yang memilih selamat dalam senyap. Sedangkan Allah berfirman:
وَجَاهِدْهُم بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا
Dan berjihadlah terhadap mereka dengan al-Quran ini, jihad yang besar.
(Surah al-Furqan: 52)

Mimbar ialah tempat menyatakan kebenaran. Bukan menjadi alat kekuasaan, tetapi pembimbing ummah. Jika mimbar mula takut kepada manusia lebih dari takut kepada Allah, maka ia sedang mengkhianati misinya.

2.Jalanan: Lidah dan Luka Akar Umbi
Jalanan pula ialah medan penderitaan. Ia tidak menyimpan skrip. Ia penuh dengan suara yang tidak didengari, dari ibu tunggal yang menahan lapar, dari peniaga kecil yang ditekan, dari anak muda yang hilang arah. Jalanan adalah lembaran terbuka yang mencatat luka rakyat setiap hari.

Dalam sejarah Islam, jalanan bukan asing bagi para pejuang. Rasulullah ﷺ berjalan ke Taif. Bilal disiksa di padang pasir. Ammar bin Yasir dan Sumayyah diseksa di tengah jalanan kota. Para ulama muktabar tidak terperuk dalam bilik kuliah semata. Mereka berdiri di medan fatwa dan medan aksi.

Gerakan rakyat adalah cerminan hati yang tertekan, dan bila suara-suara ini tidak dijawab oleh kekuasaan, maka suara dari jalanan menjadi bahasa terakhir marhaen. Jika gerakan Islam tidak mendengar suara ini, maka mereka sedang kehilangan denyut nadi umat.

3.Dakwah dan Politik: Dua Nadi, Satu Denyut
Dakwah yang tidak berani menegur kekuasaan adalah separuh jalan. Politik yang tidak bersumber dari nilai Islam adalah opportunisme. Kita tidak memilih antara mimbar atau jalanan, kerana keduanya adalah medan perjuangan. Satu menyampaikan petunjuk, satu menuntut keadilan.

Sabda Rasulullah ﷺ:
سَيِّدُ الشُّهَدَاءِ حَمْزَةُ، وَرَجُلٌ قَامَ إِلَى سُلْطَانٍ جَائِرٍ فَأَمَرَهُ وَنَهَاهُ، فَقَتَلَهُ
Penghulu para syuhada ialah Hamzah, dan lelaki yang bangkit menegur pemerintah zalim lalu dibunuh.
(Riwayat al-Hakim)

Inilah politik Islam. Bukan politik murahan untuk kuasa, tetapi politik jihad demi ummah. Satu jalan yang menuntut keberanian, kesabaran dan pengorbanan.

4.PAS dan Nadi Umat
PAS bukan sekadar parti politik. Ia adalah gerakan dakwah, tarbiyyah dan siasah. Akar perjuangannya bukan di Parlimen semata, tetapi dalam denyut nadi umat. Dari mimbar masjid kampung hingga ke perarakan membela rakyat, dari pentas ceramah ke medan bencana, di situlah PAS hadir.

Jika rakyat menjerit kerana kos sara hidup, kita wajib menyahut. Jika maruah Islam dicabar, kita wajib bangkit. Jika rakyat hilang kepercayaan kepada politik kerana rasuah dan pengkhianatan, maka PAS tampil sebagai nadi yang jujur, bersih dan istiqamah.

5.Bangkitkan Nadi Itu Kembali
Dunia hari ini sedang kacau. Kebenaran dan kebatilan kabur. Mimbar ada yang membisu, jalanan ada yang kehilangan arah. Maka kitalah para pendakwah, aktivis dan pejuang Islam yang perlu menyambungkan semula dua medan ini. Jadilah nadi umat.

Nadi yang mengalirkan ruh dari langit ke bumi. Dari al-Quran ke dalam denyut ekonomi, sosial dan politik rakyat. Dari khutbah ke pelaksanaan. Dari doa ke perjuangan. Dari mimbar ke jalanan.

Kerana selama nadi ini hidup, umat tidak mati.

“Dari Saff Terdepan Pemikiran Umat”