Zaman ini adalah zaman kekeliruan. Batas hak dan batil semakin kabur. Kebenaran bukan lagi dinilai berdasarkan prinsip wahyu, tetapi berdasarkan populariti, persepsi, dan kepentingan politik semasa.
Dunia menyaksikan bagaimana nilai mutlak dijadikan relatif, ajaran wahyu dikaburkan dengan retorik palsu, dan pejuang Islam difitnah sebagai ekstremis, sedangkan penyeru liberal dianggap reformis.
1. Kekeliruan Bukan Sekadar Ujian Biasa
Rasulullah SAW telah memberi peringatan:
سَتَكُونُ فِتَنٌ كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ، يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا، وَيُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا…
Akan berlaku fitnah seperti malam yang gelap gelita; seseorang menjadi mukmin pada waktu pagi dan menjadi kafir pada waktu petang…
(Hadith Riwayat Muslim)
Zaman fitnah adalah zaman yang menuntut kejelasan pendirian. Bukan sekadar mengelak kemungkaran, tetapi menyatakan kebenaran secara terang dan berani, walau bertentangan arus.
2. Di Antara Kekeliruan Sistem dan Peribadi
Kekeliruan hari ini berlaku dalam skala sistemik. Undang-undang dicipta untuk menyisihkan peranan agama. Media massa mengangkat suara minoriti sesat sebagai agenda hak asasi. Pendidikan menjauhkan generasi daripada makna ibadah dan syariah.
Namun, lebih menyedihkan apabila kekeliruan ini meresap ke dalam jiwa-jiwa umat Islam sendiri. Ramai yang mengaku beriman tetapi malu memperjuangkan Islam. Ramai yang lantang bercakap soal integriti tetapi senyap terhadap kerosakan syariat.
Inilah akibat bila umat kehilangan manhaj, tidak memahami fikrah perjuangan Islam yang sebenar, dan tidak ditarbiah untuk menghadapi fitnah zaman.
3. Teladan Para Sahabat: Kejelasan Dalam Kekusutan
Para sahabat RA adalah contoh kejelasan dalam segala zaman. Mereka diuji dalam medan yang sangat getir, namun tetap berpegang dengan wahyu. Mereka berbeza pendapat, tetapi tidak lari dari prinsip. Mereka berijtihad, tetapi tetap dalam bingkai wahyu dan keikhlasan.
Kita tidak pernah dan tidak akan meremehkan mereka, kerana Rasulullah SAW sendiri bersabda:
أصحابي كالنجوم، بأيهم اقتديتم اهتديتم
Sahabat-sahabatku umpama bintang; sesiapa sahaja antara mereka yang kamu ikut, kamu akan mendapat petunjuk.”
(Hadith Riwayat al-Baihaqi sanad hasan)
Justeru, jangan samakan kekeliruan zaman ini dengan perselisihan yang berlaku di zaman sahabat. Hari ini, ramai yang keliru bukan kerana ijtihad ilmiah, tetapi kerana pengaruh dunia, kuasa, dan ketakutan terhadap tekanan musuh Islam.


4. Kita Di Mana? Neutral Itu Bukan Pilihan
Kita tidak punya pilihan untuk “tunggu dan lihat” atau menjadi pemerhati pasif. Bersikap neutral dalam zaman pertarungan antara haq dan batil bukanlah keadilan, tetapi pengkhianatan terhadap amanah agama.
فَمَن يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ…
Maka sesiapa yang kufur kepada taghut dan beriman kepada Allah…
(Surah al-Baqarah: 256)
Kufur kepada taghut adalah sikap politik. Menolak sistem batil bukan pilihan, tetapi tuntutan iman.
5. Membina Saf yang Jelas
Zaman kekeliruan menuntut kita menjadi muslim yang jelas dalam saf kebenaran. Mesti ada barisan yang:
i) Menerang bukan mengelirukan,
ii) Menegur bukan membenarkan kemungkaran,
iii) Membina umat bukan menjual prinsip.
Gerakan Islam yang tidak menyusun safnya dengan kefahaman haraki dan manhaj dakwah yang jelas, akan terdedah kepada risiko keliru dan tergelincir dari misi asal.
6. Jadilah Obor di Tengah Kabus
Di zaman yang hak dipanggil batil, dan batil dipanggil progresif, kita mesti menjadi suara kebenaran yang tidak takut kepada celaan manusia.
فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ
Maka istiqamahlah kamu sebagaimana yang diperintahkan…
(Surah Hud: 112)
Bukan semua orang mampu memahami kebenaran dalam zaman fitnah. Tapi tugas kita bukan menyenangkan manusia. Tugas kita adalah menyampaikan amanah dan memperjuangkan kebenaran.
Kita bukan di tengah. Kita di saf kebenaran.
أبو معاذ محمد شكري عمر المليباري الماليزي
خادمُ الدعوةِ والأمةِ
“Dari Saff Terdepan Pemikiran Umat”





