1.Tradisionalisme: Bukan Jumud, Tetapi Kesetiaan Bertanggungjawab
Dalam masyarakat moden, istilah “tradisionalisme” sering digambarkan secara negatif dengan dilabel sebagai kolot, menolak kemajuan, dan terperangkap dalam masa silam. Namun, hakikat tradisionalisme Islam sangat berbeza. Ia bukan anti-moden, tetapi anti-pemutusan warisan (qat‘ al-turath). Ia bukan anti-ijtihad, tetapi berijtihad dengan adab dan syarat yang sah.
Tradisionalisme dalam Islam ialah:
i. Menyambung sanad ilmu.
ii. Memelihara adab antara generasi ulama.
iii. Menghormati ijma‘ dan khazanah umat.
iv. Meneruskan jalan manhaj Ahlus Sunnah wal Jamaah yang mu‘tamad.
2. Turath: Khazanah Umat, Bukan Peninggalan Lapuk
Turath (warisan keilmuan Islam) bukanlah tumpukan kitab lama semata-mata, tetapi ia adalah maklumat, manhaj, dan pengalaman yang terbukti membentuk tamadun Islam selama lebih seribu tahun.
Antara contoh kehebatan turath:
i. Sistem fiqh empat mazhab yang menangani pelbagai isu zaman tanpa keluar dari orbit syarak.
ii. Ilmu tasawuf yang mentarbiah jiwa dan akhlaq, bukan sekadar ritual.
iii. Ilmu usul al-fiqh dan maqasid yang menjadi neraca berfikir dalam menyelesaikan masalah kontemporari.
Namun turath bukan berhala. Ia bukan untuk dibekukan, tetapi untuk dihidupkan kembali (ihya’ al-turath) dalam acuan zaman.
3.Realiti Zaman: Kegelisahan Umat dan Kekeliruan Makna Tajdid
Zaman ini menyaksikan dua gejala ekstrem:
i. Golongan yang membuang turath lalu mendakwa ingin kembali kepada “Qur’an dan Sunnah” secara langsung, namun tanpa alat faham yang sahih.
ii. Golongan yang mengkultuskan turath, menjadikannya beku dan menolak sebarang pembaharuan.
Kedua-dua pendekatan ini pincang.
Yang benar ialah pendekatan berimbang:
i. Menghargai turath,
ii. Memahami maqasid,
iii. Menghidupkan ijtihad secara muwazan,
iv. Meneruskan sanad keilmuan,
v. menyesuaikan dakwah dengan latar zaman tanpa menyimpang dari manhaj.
4.Tradisionalisme yang Tajdid: Jalan Tengah Umat
Tradisionalisme bukan penghalang tajdid, malah itulah asas tajdid yang benar. Golongan inilah yang:
i. Melahirkan ulama yang beradab dan berilmu.
ii. Menyebarkan fiqh yang rahmah dan berpijak di bumi nyata.
iii. Mewujudkan kesatuan umat atas landasan ilmu dan cinta.
Mereka bukan hanya faqih, tetapi juga pendidik, murabbi dan pengimbang realiti umat. Inilah wajah tajdid yang tidak melukakan tetapi menyembuhkan.
Dalam dunia yang semakin kehilangan rujukan, umat Islam perlu kembali kepada tajdid berasaskan tradisi. Tajdid yang tidak membakar jambatan ke masa silam, tetapi menyeberangi jambatan itu ke masa depan dengan penuh adab dan tanggungjawab.
Tradisionalisme ialah akar yang menyerap hikmah zaman silam, lalu menjulang pohon ummah ke langit masa depan.
أبو معاذ محمد شكري عمر المليباري الماليزي
خادمُ الدعوةِ والأمةِ
“Dari Saff Terdepan Pemikiran Umat”





