1.Tajdid dalam Arus Zaman
Setiap zaman berdepan cabarannya yang tersendiri. Dalam dunia moden yang semakin tergesa dan kabur sempadannya, Islam tetap berdiri sebagai agama yang relevan, seimbang dan sempurna. Namun demikian, kelangsungan kefahaman dan pengamalan Islam mestilah sentiasa diperbaharui agar sesuai dengan suasana semasa tanpa mengorbankan prinsip asalnya.
Inilah makna tajdid iaitu pembaharuan yang menyambung warisan, bukan merombak atau mencipta yang asing.
Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا
Sesungguhnya Allah akan membangkitkan untuk umat ini pada setiap awal seratus tahun orang yang akan memperbaharui agama mereka.
(Hadith Riwayat Abu Dawud)
Hadis ini menjadi sandaran kepada usaha tajdid yang sebena. Bukan perubahan kosmetik, tetapi pembaharuan yang bersumberkan ilmu, adab dan tazkiyah.
2.Antara Pembaharuan dan Pembongkaran
Tajdid dalam Islam sering disalaherti. Ada yang menyangka tajdid bermaksud meruntuhkan bangunan warisan untuk dibina dengan reka bentuk baharu sepenuhnya. Ada pula yang mengambil tajdid sebagai ruang untuk menafsir agama secara bebas tanpa panduan ulama terdahulu.
Tajdid bukan merombak turath, tetapi menghidupkan kembali semangat dan prinsipnya dalam wajah yang segar dan bermanfaat untuk umat. Ia adalah upaya membersihkan agama daripada kekeliruan, bidaah yang tercela, dan kefahaman sempit yang menyempitkan keluasan Islam.
3.Tradisionalisme sebagai Wadah Tajdid
Tradisionalisme Islam bukan bererti jumud atau menolak perubahan. Sebaliknya, ia bermaksud kembali kepada akar yang asli iaitu turath, sanad, adab, dan manhaj salaf yang muktabar.
Di sinilah kekuatan Tradisionalisme Islam terletak:
i. Bermazhab, tetapi tidak taksub.
ii. Bertariqat, tetapi tidak melampau.
iii. Berilmu, bersanad dan bertanggungjawab.
Tajdid dalam kerangka ini menghidupkan kembali madrasah turath, mengembangkan fiqh yang relevan dengan konteks semasa, dan menyampaikan dakwah dengan roh kasih sayang serta hikmah.
4. Siapa Mujaddid Zaman Ini?
Mujaddid tidak semestinya satu nama besar yang menggegarkan dunia. Kadangkala tajdid itu dilakukan oleh kelompok atau institusi: pondok, madrasah, masjid, penggerak masyarakat, atau para penulis dan pemikir yang menulis dengan hikmah dan keikhlasan.
Mereka bukan sahaja menjawab persoalan semasa, tetapi menghubungkannya dengan ruh ilmu dan warisan yang bersanad.
Tajdid yang sejati adalah warisan para pewaris Nabi, bukan semata-mata para pembuat slogan. Mereka tidak melangkah dengan nafsu perubahan, tetapi dengan tanggungjawab keilmuan dan kesedaran maqasid syariah.
Tajdid ialah menyalakan kembali pelita lama yang hampir padam, bukan menggantikannya dengan neon yang silau tetapi tidak hangat.
أبو معاذ محمد شكري عمر المليباري الماليزي
خادمُ الدعوةِ والأمةِ
“Dari Saff Terdepan Pemikiran Umat”
#MihrabPemikiran





