Menyediakan generasi Islam yang menepati tuntutan al-Quran dan as-Sunnah merupakan amanah yang amat besar di sisi Allah. Tarbiyyah bukan sekadar membentuk jasad dan organisasi, tetapi membina hati, jiwa, dan fikrah agar tunduk kepada syariat Allah. Kesilapan dalam menyediakan acuan akan meruntuhkan generasi, bukan membinanya.
Segala asas yang dibina berlandaskan nafsu akan hancur binasa. Firman Allah Ta‘ala dalam Surah al-Mu’minun ayat 71:
وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُم بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَن ذِكْرِهِم مُّعْرِضُونَ
“Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosaklah langit dan bumi serta segala yang ada di dalamnya. Bahkan Kami telah memberikan kepada mereka peringatan (al-Quran) yang menjadi kemuliaan bagi mereka, tetapi mereka berpaling daripadanya.”
Tarbiyyah yang dipandu oleh hawa nafsu dan kepentingan diri tidak akan melahirkan mujahid sejati. Sebaliknya ia menumbuhkan generasi yang hilang arah, lemah jati diri, dan jauh daripada roh perjuangan Islam. Rasulullah ﷺ telah memberi peringatan dalam hadis sahih:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepala niat, dan setiap orang hanya akan mendapat apa yang diniatkannya.
(Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Maka apabila pentarbiyyah mula dirasuk oleh hubbu riasah (cinta kepada jawatan dan pengaruh), maka binasalah nilai ikhlas yang menjadi asas dakwah. Mereka tidak lagi mengajak kepada Allah, tetapi kepada diri dan kelompoknya. Akibatnya, mad‘u (orang yang ditarbiyyah) tersesat pada jalan yang sama, memuja individu lebih daripada mentaati Allah.
Firman Allah Ta‘ala:
قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَٰلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ
Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dan dengan itu aku diperintahkan.
(Surah al-An‘am: 162–163)
Oleh itu, para pentarbiyyah wajib bermuhasabah. Jangan sampai tersungkur di pintu syurga setelah penat mendidik, tetapi amal ditolak kerana riya’, sum‘ah dan takabbur. Rasulullah ﷺ mengingatkan:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ يَقُولُ
إِنَّ أَوَّلَ النَّاسِ يُقْضَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَيْهِ رَجُلٌ اسْتُشْهِدَ، فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا، قَالَ فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا؟ قَالَ قَاتَلْتُ فِيكَ حَتَّى اسْتُشْهِدْتُ، قَالَ كَذَبْتَ، وَلَكِنَّكَ قَاتَلْتَ لِأَنْ يُقَالَ جَرِيءٌ، فَقَدْ قِيلَ، ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ
وَرَجُلٌ تَعَلَّمَ الْعِلْمَ وَعَلَّمَهُ وَقَرَأَ الْقُرْآنَ، فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا، قَالَ فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا؟ قَالَ تَعَلَّمْتُ الْعِلْمَ وَعَلَّمْتُهُ، وَقَرَأْتُ فِيكَ الْقُرْآنَ، قَالَ كَذَبْتَ، وَلَكِنَّكَ تَعَلَّمْتَ الْعِلْمَ لِيُقَالَ عَالِمٌ، وَقَرَأْتَ الْقُرْآنَ لِيُقَالَ قَارِئٌ، فَقَدْ قِيلَ، ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ
وَرَجُلٌ وَسَّعَ اللَّهُ عَلَيْهِ، وَأَعْطَاهُ مِنْ أَصْنَافِ الْمَالِ كُلِّهِ، فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا، فَقَالَ فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا؟ قَالَ مَا تَرَكْتُ مِنْ سَبِيلٍ تُحِبُّ أَنْ يُنْفَقَ فِيهَا إِلَّا أَنْفَقْتُ فِيهَا لَكَ، قَالَ كَذَبْتَ، وَلَكِنَّكَ فَعَلْتَ لِيُقَالَ هُوَ جَوَادٌ، فَقَدْ قِيلَ، ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ
Maksudnya:
Rasulullah ﷺ bersabda:
Sesungguhnya manusia yang pertama kali akan diadili pada hari kiamat ialah seorang yang mati syahid. Maka dia dibawa (ke hadapan Allah), lalu Allah memperingatkannya akan nikmat-nikmat-Nya, dan dia pun mengakuinya. Allah bertanya: ‘Apa yang engkau lakukan dengan nikmat-nikmat itu?’ Dia menjawab: ‘Aku telah berperang di jalan-Mu hingga aku mati syahid.’ Allah berfirman: ‘Engkau berdusta! Engkau berperang supaya dikatakan engkau berani, dan memang telah dikatakan demikian.’ Maka diperintahkan agar dia diseret atas wajahnya lalu dicampakkan ke dalam neraka.
Kemudian didatangkan seorang yang menuntut ilmu, mengajarkannya, dan membaca al-Quran. Allah memperingatkannya akan nikmat-nikmat-Nya dan dia mengakuinya. Allah bertanya: ‘Apa yang engkau lakukan dengan nikmat-nikmat itu?’ Dia menjawab: ‘Aku menuntut ilmu, mengajarkannya, dan membaca al-Quran kerana-Mu.’ Allah berfirman: ‘Engkau berdusta! Engkau menuntut ilmu agar dikatakan engkau seorang alim, dan engkau membaca al-Quran agar dikatakan engkau seorang qari, dan memang telah dikatakan demikian’. Maka diperintahkan agar dia diseret atas wajahnya lalu dicampakkan ke dalam neraka.
Kemudian didatangkan seorang yang telah Allah luaskan rezekinya dan diberi pelbagai jenis harta. Allah memperingatkannya akan nikmat-nikmat-Nya dan dia mengakuinya. Allah bertanya: ‘Apa yang engkau lakukan dengan nikmat-nikmat itu?’ Dia menjawab: ‘Aku tidak meninggalkan satu jalan pun yang Engkau suka agar diinfakkan padanya melainkan aku telah berinfak padanya kerana-Mu.’ Allah berfirman: ‘Engkau berdusta! Engkau berbuat demikian supaya dikatakan engkau seorang dermawan, dan memang telah dikatakan demikian.’ Maka diperintahkan agar dia diseret atas wajahnya lalu dicampakkan ke dalam neraka.” (Riwayat Muslim, no. 1905)
Maka hendaklah para pentarbiyyah mendidik dengan hati yang tulus, mengikuti manhaj Rasulullah ﷺ dan salafus soleh. Tarbiyyah yang benar ialah yang membina iman, menanam taqwa, menyuburkan keikhlasan dan menegakkan syariat.
Jika dibina dengan keikhlasan dan berpaksikan al-Quran serta as-Sunnah, maka lahirlah generasi khairu ummah yang cintakan kebenaran, teguh dalam perjuangan, dan seimbang antara amal dan akhlak.
Moga Allah meneguhkan hati kita semua di atas agama ini sehingga akhir hayat, sebagaimana doa Nabi ﷺ:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.
(Riwayat al-Tirmizi)
اللهم اجعلنا من المخلصين في دعوتنا، الصادقين في
جهادنا، والمقبولين عند لقائك.





