SHAH ALAM (12 November 2026) — Pemuda PAS Selangor menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor di bawah pentadbiran PH gagal membela nasib rakyat, walaupun negeri ini mencatatkan tahap kekayaan yang tinggi.
Menurut sayap pemuda parti itu, kegagalan kerajaan negeri jelas kelihatan melalui perkembangan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan bajet tahunan terdahulu, yang didakwa lebih bersifat kosmetik tanpa menyelesaikan masalah asas rakyat.
Berdasarkan data terkini daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), negeri Selangor mencatatkan penurunan kadar pertumbuhan tahunan Indeks Kesejahteraan Sosial daripada 2.1% pada 2021 kepada 0.7% pada 2022. Dua subkomponen yang mencatatkan penurunan signifikan ialah keselamatan awam (-9.3%) dan kesihatan (-6.3%). Subkomponen keluarga pula hanya meningkat 2%, jauh daripada sasaran 8% dalam RS-1.
Pemuda PAS Selangor turut menegaskan rakyat Selangor kini tertekan dengan kos sara hidup yang meningkat, dengan kadar inflasi negeri 1.8% berbanding kadar nasional 1.5%. Walaupun negeri kaya, insiden kemiskinan mutlak masih mencatatkan 1.5% pada 2022, berbanding sasaran 0.5% dalam Kajian Separuh Penggal RS-1. Jurang pendapatan bandar-luar bandar juga ketara, contohnya median pendapatan di Sabak Bernam hanya RM6,941 berbanding RM11,131 di Sepang.
Kajian Khazanah Research Institute menunjukkan majoriti rakyat Lembah Klang menghadapi kekangan mendapatkan rumah mampu milik. Pada 2024, daripada 302,998 permohonan melalui SPHNS, hanya 13% unit siap dibina, 7% sedang dibina, dan 62% belum dimulakan. Tambahan pula, 51,941 pemohon ditolak tanpa sebab munasabah.
Pemuda PAS Selangor turut membangkitkan isu gangguan bekalan air, pencemaran sumber air, banjir tahunan di beberapa kawasan termasuk Taman Sri Muda, Hulu Langat dan Gombak, serta kegagalan projek mega SABDA yang dijanjikan pelaburan RM1.9 bilion dan 3,600 peluang pekerjaan. Menurut mereka, kelewatan dan kecuaian kerajaan negeri jelas menjejaskan kesejahteraan rakyat.
Sebagai langkah pembetulan, Pemuda PAS Selangor mencadangkan peruntukkan dana lebih besar bagi menjamin kesejahteraan rakyat khususnya dalam sektor keselamatan dan kesihatan, memperkasa kemahiran serta kebolehpasaran pekerjaan supaya isi rumah miskin mutlak dapat melepasi Pendapatan Garis Kemiskinan secara mampan, membina lebih banyak rumah mampu milik yang sesuai dengan kemampuan rakyat, khususnya golongan muda, serta menambah peruntukan infrastruktur asas di luar bandar bagi mengurangkan jurang sosioekonomi.
Pemuda PAS Selangor menegaskan kerajaan negeri tidak seharusnya mengulangi kegagalan RS-1 dalam Bajet Selangor 2026 dan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang bakal diumumkan, sebaliknya perlu fokus memastikan kekayaan negeri dinikmati oleh rakyat secara adil dan saksama.
