PEMUDA PAS SELANGOR SAMBUT BAIK KEPUTUSAN AIR ASIA BENARKAN ANAK KAPAL WANITA MUSLIM BERHIJAB

SHAH ALAM (5 Disember 2025) — Pemuda PAS Selangor menyambut baik keputusan AirAsia yang membenarkan anak kapal wanita Muslim memakai hijab di seluruh rangkaian penerbangan syarikat berkenaan, menyifatkannya sebagai satu langkah bermakna dalam mengiktiraf hak serta aspirasi wanita Muslim di tempat kerja.

Menurut Pemuda PAS Selangor, keputusan tersebut bukan sahaja selari dengan Perlembagaan Persekutuan, malah mencerminkan identiti Malaysia sebagai sebuah negara majoriti Muslim yang menjunjung kebebasan beragama.

Sayap pemuda itu mengakui perubahan dasar berkenaan telah lama dinantikan, namun memahami bahawa polisi korporat sering dipengaruhi oleh faktor penjenamaan global dan standard industri penerbangan antarabangsa. Walau bagaimanapun, mereka berpandangan AirAsia telah membuat pembetulan yang tepat demi menghormati maruah dan nilai pekerja.

“Keputusan ini membawa mesej jelas bahawa profesionalisme dan komitmen terhadap agama boleh berjalan seiring,” menurut kenyataan itu.

Pemuda PAS Selangor turut menyifatkan langkah berkenaan sebagai galakan kepada lebih ramai wanita Muslim untuk menceburi kerjaya dalam industri penerbangan tanpa perlu berdepan dilema antara tuntutan kerjaya dan pegangan prinsip hidup.

Dalam pada itu, Pemuda PAS Selangor menggesa agensi kerajaan agar terus memperkukuh garis panduan serta penguatkuasaan berkaitan pemakaian dan hak beragama di tempat kerja, bagi memastikan pekerja dilindungi daripada sebarang bentuk diskriminasi.

Mereka turut berpandangan pendekatan AirAsia itu mampu meningkatkan keyakinan rakyat serta mengukuhkan imej syarikat sebagai entiti perniagaan Malaysia yang memahami aspirasi masyarakat pelbagai latar belakang.

Pemuda PAS Selangor berharap lebih banyak syarikat lain akan mencontohi langkah tersebut sebagai sebahagian daripada usaha menghormati kepelbagaian agama dan budaya, sambil menegaskan bahawa kemajuan ekonomi dan penghormatan terhadap agama perlu digerakkan secara seiring demi kemajuan negara.