SOKONGAN PENUH TERHADAP TITAH TUANKU SELANGOR BERHUBUNG PENTERNAKAN BABI DI TANJONG SEPAT

SHAH ALAM (10 Januari 2026) — Pemuda PAS Selangor menjunjung kasih serta menyatakan sokongan penuh terhadap titah dan pandangan tegas Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berhubung keputusan Kerajaan Negeri Selangor yang membenarkan operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat sebelum pemindahan ke Bukit Tagar.

Menurut Pemuda PAS Selangor, titah Tuanku mencerminkan keprihatinan seorang Raja Berperlembagaan yang bukan sahaja berperanan sebagai Ketua Agama Islam Negeri, malah sebagai pelindung keharmonian masyarakat, penjaga alam sekitar dan pembela kebajikan rakyat pelbagai kaum dan agama.

Sayap pemuda itu berpandangan bahawa kebimbangan yang disuarakan oleh Sultan Selangor adalah berasas, khususnya berkaitan isu pencemaran bau, pencemaran sungai, risiko kesihatan awam serta gangguan terhadap kualiti hidup penduduk setempat yang didakwa telah berlarutan lebih sedekad tanpa penyelesaian menyeluruh.

Pemuda PAS Selangor turut menegaskan bahawa membenarkan operasi penternakan pada skala yang lebih besar di kawasan sama adalah tidak wajar dan tidak berhemah, memandangkan isu-isu berkenaan masih belum ditangani sepenuhnya.

Dalam kenyataan itu, Pemuda PAS Selangor menyokong pendirian DYMM Sultan Selangor bahawa penternakan babi secara kecil dan terkawal bagi memenuhi keperluan tempatan masyarakat bukan Islam boleh difahami, namun perancangan berskala besar dan berorientasikan eksport disifatkan sebagai tidak seimbang serta tidak sensitif terhadap realiti demografi dan keharmonian masyarakat Selangor.

Selain itu, Pemuda PAS Selangor turut memandang serius kebimbangan Tuanku berhubung kemungkinan wujudnya konflik kepentingan, kelemahan tadbir urus atau unsur rasuah dalam perancangan dan kelulusan projek berkenaan, sambil menegaskan bahawa isu sedemikian tidak wajar diputuskan secara tergesa-gesa tanpa libat urus menyeluruh bersama rakyat setempat.

Pemuda PAS Selangor turut menggesa Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Amiruddin Shari supaya menjadikan titah DYMM Tuanku sebagai peringatan agar setiap dasar pembangunan dilaksanakan berteraskan amanah, ketelusan dan keutamaan kebajikan rakyat.

Menurut kenyataan itu, pembangunan ekonomi tidak seharusnya mengorbankan kesihatan awam, kelestarian alam sekitar serta keharmonian antara kaum.

Pemuda PAS Selangor menegaskan komitmen mereka untuk terus mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu, memelihara kesucian agama Islam serta memperjuangkan hak dan kesejahteraan rakyat Selangor secara berprinsip.