(SIRI 04) ANTARA REALPOLITIK DAN SIYASAH SYARIYYAH: MENILAI KEPUTUSAN NEGARA ISLAM DALAM KACA MATA WAHYU

Apabila kekuatan politik memisahkan agama dari pertimbangan, maka keputusan yang dibuat tidak lagi tertambat pada langit, tetapi terkurung dalam batas nafsu dan strategi jangka pendek.

Hari ini kita menyaksikan pertembungan yang semakin jelas antara dua pendekatan dalam pengurusan negara: realpolitik dan siyasah syariyyah. Realpolitik menekankan keutamaan kuasa, kepentingan nasional dan strategi pragmatik. Siyasah syariyyah pula, mengikat sebarang tindakan politik dengan syariat Allah, maqasid (tujuan), dan keadilan mutlak.


1. Pelaburan Arab ke Amerika: Strategik atau bergantung serta tunduk kepada kuasa lain?

Negara-negara Teluk seperti Arab Saudi dan Qatar melabur hampir USD 2 trilion dalam ekonomi Amerika. Secara strategik, ia digambarkan sebagai perisai ekonomi dan diplomatik, bagi memelihara kestabilan dalaman, mendapat perlindungan ketenteraan serta pengaruh dalam percaturan global.

Namun dalam kerangka syara’, 3 persoalan perlu dijawab:
1) Adakah pelaburan itu memperkuat musuh yang menyerang umat Islam?
2) Adakah ia mengukuhkan kebergantungan dan ketundukan kepada Barat?
3) Apakah alternatif pelaburan strategik sesama negara Islam telah diteroka?

Firman Allah:
وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا
Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang yang beriman.
(Surah al-Nisa’: Ayat 141)

Apabila pelaburan dilakukan di negara yang menaja penjajahan ke atas Palestin, mendanai kekejaman di Yaman dan menyokong entiti yang menghina Nabi SAW, maka ia bukan sekadar strategi ekonomi, tetapi penyelewengan wala’ (kesetiaan politik).


2. Isu Syria, Yaman dan Lubnan: Diplomasi atau Kezaliman Terselindung?

Dalam banyak konflik umat Islam seperti di Syria, Yaman dan Lubnan. Kita melihat bagaimana sesetengah negara Islam memilih untuk:
1) Menyokong rejim zalim (atas nama kestabilan)
2) Berdiam diri terhadap pembantaian (atas nama tidak mahu campur tangan urusan negara lain)
3) Menyokong proksi Barat (atas nama keperluan sekutu)


3. Realpolitik membenarkan semua itu. Tetapi Islam?

Sabda Rasulullah SAW:
انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا
Bantulah saudaramu sama ada dia yang menzalimi atau yang dizalimi.
(Hadith Riwayat Bukhari)

Membantu saudara yang menzalimi bukan dengan sokongan, tetapi menegahnya dari berbuat zalim. Kegagalan melakukan ini menyebabkan kesetiaan kepada kebenaran (al-haq) digantikan dengan kesetiaan kepada paksi kekuasaan geopolitik (Amerika, Rusia, UK, EU, dan China).


4. Nabi Muhammad SAW dan Politik Berprinsip

Nabi SAW pernah menolak bantuan kaum Musyrikin dalam Perang Badar meskipun ia boleh memberi kelebihan ketenteraan. Mengapa? Kerana prinsip lebih utama daripada kelebihan taktikal.

Politik Islam adalah politik berprinsip. Ia tidak mengorbankan akidah demi maslahat jangka pendek.

Contoh perjanjian Hudaibiyyah juga menunjukkan bagaimana kebijaksanaan Nabi tidak tunduk kepada provokasi, namun tetap mempertahankan kehormatan umat dan matlamat dakwah.


5. Konsep “Bijaksana” dalam Islam Bukanlah Sekadar “Strategik”

Kebijaksanaan menurut syarak bukan hanya apa yang menguntungkan dari segi angka dan persepsi antarabangsa. Ia adalah:
1) Tindakan yang tidak bercanggah dengan syarak
2) Menjaga maruah umat dan menghindari penghinaan
3) Melakar kesan jangka panjang yang membawa kekuatan umat, bukan ketundukan

Setiap keputusan politik yang mengkhianati maslahat umat Islam demi kepentingan penjajah atau musuh, walau tampak bijaksana, adalah pengkhianatan terhadap amanah kepimpinan.


6. Umat Perlu Kembali Menilai dengan Neraca Wahyu

Umat Islam wajib menilai tindakan negara mereka bukan dengan neraca teori Machiavelli, tetapi dengan neraca wahyu. Realpolitik tanpa panduan wahyu akan menghasilkan sekutu yang menindas kita secara ekonomi dan membunuh kita secara senyap.

Dunia Islam memerlukan kebangkitan siyasah syariyyah yang tidak alergik kepada strategi, tetapi strategi yang tidak menodai prinsip.

Kita tidak menolak keperluan diplomasi, tetapi diplomasi yang sujud kepada kebenaran yang diturun Allah, bukan kepada kuasa.

أبو معاذ محمد شكري عمر المليباري الماليزي
خادمُ الدعوةِ والأمةِ

“Dari Saff Terdepan Pemikiran Umat”