KUALA LUMPUR (19 Januari 2026) — Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar menegaskan bahawa isu kuil yang dibina tanpa kelulusan di atas tanah milik pihak lain perlu ditangani secara tegas berlandaskan undang-undang, tanpa dipengaruhi sentimen agama atau perkauman.
Menurut beliau, isu berkenaan bukan berkaitan kebencian agama, sebaliknya melibatkan pelanggaran undang-undang serta kelemahan penguatkuasaan yang jika dibiarkan berlarutan, boleh mencabar kedaulatan undang-undang dan melemahkan prinsip keadilan dalam pentadbiran negara.
Beliau menegaskan bahawa setiap binaan yang didirikan tanpa kebenaran pihak berkuasa dan pemilik tanah adalah tidak sah di sisi undang-undang, tanpa mengira latar belakang agama atau kaum.
“Undang-undang tidak boleh dikuatkuasakan secara terpilih. Keadilan yang bersyarat hanya akan menimbulkan ketidakpercayaan rakyat terhadap sistem pemerintahan,” katanya.
Sebagai perbandingan, beliau berkata pembinaan masjid dan surau di negara ini tertakluk kepada peraturan ketat termasuk pemilikan tanah yang sah, proses kelulusan pihak berkuasa agama serta pemantauan oleh Jabatan Agama Islam Negeri.
Menurutnya, prinsip keadilan menuntut agar pendekatan yang sama turut dilaksanakan terhadap pembinaan rumah ibadat agama lain, bagi memastikan setiap pembinaan mematuhi peruntukan undang-undang dan memiliki status tanah yang jelas.
Beliau turut mencadangkan agar satu mekanisme pemantauan dan audit oleh agensi khusus diwujudkan bagi memastikan semua rumah ibadat dibangunkan secara sah, telus dan mengikut prosedur yang ditetapkan, sambil menegaskan bahawa cadangan tersebut bukan bertujuan menyekat kebebasan beragama.
Dalam pada itu, beliau menolak sebarang usaha mengapi-apikan sentimen agama dan perkauman bagi mengaburi isu sebenar, sambil menegaskan bahawa toleransi tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan pelanggaran undang-undang berterusan.
Beliau turut menggesa kerajaan dan pihak berkuasa tempatan agar bertindak secara tegas, telus dan konsisten berasaskan peruntukan undang-undang sedia ada, bagi memastikan keharmonian masyarakat dapat dipelihara secara adil dan berprinsip.
Menurutnya, kegagalan berbuat demikian berisiko mewujudkan budaya mencabar peraturan serta melemahkan kewibawaan kerajaan, sekali gus menjejaskan asas keadilan dalam sebuah negara bertamadun.
