SHAH ALAM (22 Januari 2026) — Dewan Pemuda PAS Selangor membantah sekeras-kerasnya cadangan penukaran status sebidang tanah berkeluasan 3.36 hektar di Seksyen 32, Shah Alam, daripada Zon Guna Tanah Institusi Awam (pendidikan) kepada Zon Guna Tanah Komersial bagi tujuan pendidikan swasta.
Menurut sayap pemuda parti itu, cadangan berkenaan dilihat memberi implikasi besar kepada rakyat dan masa depan sistem pendidikan negara, selain mencerminkan kecenderungan menjadikan pendidikan sebagai sektor berorientasikan keuntungan semata-mata.
Dewan Pemuda PAS Selangor menegaskan bahawa penukaran status tanah tersebut berpotensi menafikan peluang pendidikan yang adil kepada anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, sedangkan tanah itu telah pun diwartakan khusus untuk kepentingan awam.
“Sekiranya terdapat keperluan untuk membina sekolah swasta, pihak berkaitan seharusnya mencari tapak lain dan bukan mengambil tanah yang telah diperuntukkan untuk sekolah awam,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan tersebut, cadangan berkenaan turut disifatkan sebagai satu pengkhianatan terhadap hak pendidikan anak-anak rakyat, khususnya di kawasan yang telah lama berdepan isu kesesakan sekolah.
Ketika ini, menurut Dewan Pemuda PAS Selangor, ribuan murid terpaksa belajar dalam kelas yang menempatkan lebih 40 orang pelajar, malah masih terdapat anak-anak yang belum memperoleh penempatan di sekolah harian biasa.
Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Selangor menyeru ibu bapa, penduduk setempat, ahli kariah, pertubuhan masyarakat sivil serta seluruh rakyat Selangor supaya bangkit menyatakan bantahan terhadap cadangan tersebut.
Orang ramai dimaklumkan bahawa tempoh bantahan awam yang ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan berakhir pada 21 Januari 2026, dan bantahan rasmi boleh dikemukakan melalui laman sesawang MBSA.
Dalam kenyataan sama, Dewan Pemuda PAS Selangor turut menggesa orang ramai supaya menyebarkan maklumat berkenaan secara meluas agar lebih banyak pihak menyedari isu yang disifatkan sebagai kezaliman terhadap sistem pendidikan di negeri itu.
“Kerajaan perlu memastikan akses pendidikan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, bukannya memilih jalan mudah yang akhirnya membebankan rakyat pada masa hadapan,” menurut kenyataan tersebut.
