KUALA LUMPUR (28 Januari 2026) — Pengerusi Lajnah Dakwah & Pembelaan Islam Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohamed Sukri Omar menyuarakan bantahan terhadap cadangan penganjuran Water Musical Festival di Bukit Bintang sempena Sambutan Hari Pekerja Pelancongan dan kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 1 Mei 2026.
Menurut Mohamed Sukri, bantahan tersebut dibuat atas dasar berprinsip, berfakta dan bertanggungjawab, khususnya melibatkan pemilihan lokasi serta bentuk penganjuran acara berkenaan.
Tambah beliau lagi, Bukit Bintang merupakan pusat perniagaan dan pergerakan awam yang kritikal, digunakan setiap hari oleh ribuan pekerja, peniaga, penduduk setempat serta pengguna pengangkutan awam. Justeru, penutupan jalan dan penganjuran acara berskala besar di kawasan itu dikhuatiri memberi kesan besar terhadap mobiliti bandar, operasi perniagaan kecil, keselamatan awam serta keselesaan orang ramai.
Selain itu, beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap konsep festival air terbuka dan hiburan jalanan berskala besar yang melibatkan suasana pesta awam, yang menurutnya perlu dinilai secara lebih teliti dari sudut nilai, adab dan sensitiviti budaya tempatan.
“Malaysia ialah negara berbilang kaum dengan Islam sebagai agama Persekutuan. Penganjuran acara di ruang awam tumpuan perlu mengambil kira keharmonian sosial serta nilai masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mengingatkan bahawa penganjuran acara sedemikian di kawasan sesak berpotensi menimbulkan risiko keselamatan dan kesihatan awam, termasuk kesesakan melampau, kecederaan, vandalisme, pencemaran serta cabaran penguatkuasaan.
Dalam pada itu, Mohamed Sukri menegaskan bahawa bantahan tersebut bukanlah sebuah penolakan terhadap kempen Visit Malaysia 2026, sebaliknya mendesak supaya matlamat kempen berkenaan dapat menonjolkan identiti budaya, warisan dan perayaan utama negara.
Menurut beliau, acara pelancongan utama seharusnya mencerminkan jati diri Malaysia serta nilai tempatan, bukannya meniru model pesta jalanan luar negara yang tidak semestinya sesuai dengan konteks tempatan.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kerajaan Persekutuan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya menilai semula penganjuran Water Musical Festival dari sudut lokasi, skala dan bentuk acara, selain mengadakan sesi libat urus bersama penduduk, peniaga dan pihak berkepentingan setempat.
Beliau turut menekankan bahawa kekuatan utama Malaysia sebagai destinasi pelancongan terletak pada budaya, adab, warisan dan identiti ketimuran, bukannya hiburan bebas atau pesta jalanan.
“Pelancongan yang berjaya bukan yang paling bising dan sensasi, tetapi yang berakar pada nilai, berteras budaya dan berwajah Malaysia,” katanya.
